nuffnang

Monday, January 19, 2009

fitrah manusia

Fitrah dunia remaja adalah untuk bersukaria & berhibur. “ Berhibur tiada salahnya…kerna hiburan itu indah…” lirik lagu Raihan ini memang benar…remaja suka kepada yang indah, yang menarik, yang santai dan rileks. Oleh itu remaja Islam perlu keluar mencari hiburan. Begitu juga para sahabat Rasulullah saw, mereka biasa bergurau, ketawa, bermain-main dan berhibur, karena mereka mengetahui akan keperluan jiwanya dan ingin memenuhi panggilan fitrah serta hendak memberikan hak hati untuk beristirahat dan bergembira. Sebab kerana kita perlu sedari aktiviti kehidupan kita masih panjang. Hati dan jiwa remaja mudah menjadi bosan jika tidak mengikut fitrah iaitu mahu mencari hiburan, bergembira untuk menenangkan hati. Ali bin Abu Talib pernah berkata: "Sesungguhnya hati itu mudah bosan seperti badan. Oleh kerana itu carilah segi-segi kebijaksanaan demi kepentingan hati." 

Remaja perlu bertanya pada diri, untuk apa berhibur, untuk apa bergembira dan untuk apa bersendaloka. Jawapan dari remaja cari mestilah selari dengan apa yang Rasulullah saw. ajarkan kepada para sahabatnya. Dalam lipatan sejarah para sahabat-sahabat Rasulullah saw, mereka mencari hiburan untuk memperolehi hati yang tenang. Syarat bagi ketenangan hati ialah keperluan asasinya diisi, yaitu iman. Orang beriman akan mendapat kepuasan dengan hiburan yang berbekas pada hati. Artinya, jika hati benar-benar disuburkan dengan iman, maka hati pun akan terhibur. Inilah hiburan sejati
bagi orang-orang beriman. Adakah remaja di luar sana telah mempunyai garis panduan sebagaimana para sahabat Rasulullah saw nukilkan dalam kehidupan mereka. Jika belum, ayuhlah! Mari kita ikuti langkah-langkah remaja yang kasih kepada Tuhannya.

Remaja yang faham, mereka akan menggunakan masa mencari hiburan dengan berhubung dengan Allah dengan solatnya dan rasa bahagia mendengar panggilan azan. Rasulullah saw bersabda, " Wahai Bilal, tenangkan kami dengan azanmu." Hanya dengan solat , hati orang yang bertaqwa sudah terhibur sebagaimana sabda Rasulullah saw: "Sejuk mataku di dunia dengan solat." Hati orang-orang bertaqwa terhibur dengan solatnya kerana mereka merasa seolah-olah sedang berbisik-bisik, bermesra, mengadu dan merintih dengan kekasih hatinya. 

Remaja yang matang usianya pasti faham tanggungjawabnya sebagai remaja hamba Allah swt. Melaksanakan perintah Allah adalah suatu bukti yang kita terhibur sebagai hamba-Nya. Apabila melaksanakan perintah Allah, orang-orang beriman akan terhibur kerana merasakan perintah itu datangnya dari Pemilik diri remaja itu sendiri. Sudahkan remaja kita menunaikan segala seruan Allah. Rasanya begitu banyak tuntutan Islam ke atas remaja Muslim yang belum dilaksanakan. Masakan remaja kita merasa terhibur sebagai remaja hamba Allah?


Remaja fitrahnya suka bergaul dangan ramai kawan dan orang disekelilingnya. Adakah remaja kita sedari bahawa orang yang telah mendapat hiburan sejati, sikapnya tenang. Bila bergaul dengan manusia,
mereka terhibur dan menghibur. Kasih sayang terpancar pada wajah, sikap dan tutur katanya. Bagi orang beriman, kasih sayang dalam pergaulan memberi hiburan yang sangat bernilai. Dia menyayangi dan disayangi. Sebaliknya, manusia yang tidak mendapat hiburan sejati menjadi seorang pemarah, pendendam dan emosional. Mereka tidak terhibur dan tidak dapat
menghibur. Dalam pergaulan, mereka selalu menyakiti orang lain kerana mereka mencuba mendapatkan 'hiburan' dengan melepaskan keresahan yang ada dalam hatinya. Inilah yang banyak terjadi dalam kelompok remaja kita.

Remaja muslim sentiasa bersyukur. Syukur dengan menerima ketentuan hidup dari Allah. Samada remaja di kampunga mahupun di bandar. Ada remaja yang dapat mengecap pelbagai nikmat kehidupan, ada remaja sekadar melalui kehidupan yang sederhana. Remaja yang beriman juga
merasa terhibur dengan warna kehidupan yang diberikan Allah keatasnya, samada dalam keadaan cukup atau serba kekurangan. Hatinya senantiasa bersangka baik dengan Allah. Hal itu yang membuatnya tidak pernah merasa resah. Bila diberi nikmat, mereka terhibur lalu mereka bersyukur. Diberi kesusahan mereka juga terhibur lalu mereka bersabar. Bila sakit, terasa diberi kesempatan untuk mendapat ampunan. Hanya badan yang sakit, tetapi hati tetap kuat dan sihat untuk mengingati
Allah. Bila sihat, terasa diberi rahmat.


Senario hari ini agak sukar mencari remaja muslim seperti yang dihuraikan. Remaja yang membiarkan dirinya mengikut arus hiburan keseronokan, memahami hiburan seperti mana yang di bawa oleh barat dan jahiliah moden, maka terasa lemah imannya. Mereka memerlukan hiburan luar yang sangat banyak. Walaupun sudah bermacam-macam jenis hiburan yang dinikmati, tetapi hidup masih menjemukan. Mereka tidak pernah puas kerana apa yang mereka nikmati hanya hiburan palsu. Jika iman sudah
disuburkan di dalam hati, manusia tidak memerlukan hiburan yang banyak seperti sekarang ini. Mereka cukup terhibur dengan membaca Al-Quran, nasyid, lagu-lagu yang melalaikan, bershalawat dan ibadah-ibadah yang lain. Semua itu sudah cukup untuk memuaskan hati. Namun ini tidaklah
bererti orang beriman menolak langsung hiburan-hiburan dari fitrah dirinya. 

Bagi mereka, hiburan luar itu boleh saja untuk lebih menyuburkan lagi hiburan dari dalam diri, yakni iman, dengan syarat ia mematuhi syariat. Alunan ayat suci al-Quran, nasyid yang mengagungkan Allah, shalawat yang memuji nabi, puisi yang menghaluskan rasa kehambaan kepada Allah, pasti akan semakin menyuburkan iman, sumber hiburan utama di dalam hati orang yang beriman.

Inilah garis pemisah antara hiburan sejati yang dinikmati oleh remaja beriman dengan hiburan palsu yang melalaikan remaja yang tidak tertipi dengan hiburan dunia. Inilah hakikat yang masih belum tersurat di mata golongan remaja kita. Masih ramai remaja yang menganggap, jika Islam diterapkan, maka kehidupan akan berubah menjadi suram dan murung. Tidak ada keceriaannya kerana mereka beranggapan bahawa Islam menolak hiburan. Tetapi kini, hal itu sudah terjawab bahawa Allah swt telah menyediakan satu hiburan sejati kepada para hamba-Nya. Hiburan yang dapat dirasakan di dunia lagi sebelum hamba-Nya menikmati hiburan yang hakiki di akhirat.




No comments: